Usrah : Menjana hati dan jiwa dengan zikrullah

 Assalamualaikum wbt

 Tajuk Usrah : Menjana hati dan jiwa dengan zikrullah



Bismillahirrahmanirrahim.

Alhamdulillahi Robbil A'lamin. Segala pujian tertentu kembali pada Allah, Wasolatu wassalamu a'la asyrafil anbiyai wal mursalin, walhamdulillahi rabbil a'lamin.

Jazakillah bagi hadir malam ni

Sesungguhnya hati ❤, diibaratkan sebagai raja yang memerintah di dalam sesebuah negara itu, mempunyai rupa bentuk seperti sebuah bukit yang terbalik. Justeru, keadaannya tidak tetap dan sentiasa berubah-ubah, kerana ia tidak mempunyai tapak untuk berdiri.

Sebab itulah ia disebut di dalam Al-Quran dan As-Sunnah dengan sebutan “QALBUN”, yang bererti berbalik-balik atau mudah berubah. Ia tidak seperti bukit atau piramid yang mempunyai tapak yang kukuh untuk membolehkan ia berdiri dengan mantap dan tetap.

Oleh itu, Allah SWT dan Rasul-Nya telah mendidik kita sebagai insan, agar berusaha dan berikhtiar serta melatih diri dengan berjiwa, iaitu dengan ma’rifatullah (Mengenai Allah). Seiring dengan itu, maka dengan itu kita perlu sentiasa melakukan zikrullah (Mengingati Allah), sebagai pernyataan bahawa kita sentiasa berpegang teguh dan bersandar kepada-Nya dan mematuhi peraturan-peraturan-Nya. Kerana pada hakikat-Nya kita datang daripada Allah, kini sedang berada di bumi Allah dan pada bila-bila masa apabila sampai waktunya yang telah ditetapkan, kita akan kembali kepada-Nya!!!

Di dalam Al-Quran, kita menemui banyak ayat yang menyuruh kita agar sentiasa berzikir atau mengingati Allah. Antara lain Allah Berfirman menerusi Surah Al-Ahzab, ayat 41, yang bermaksud : “Hai orang-orang yang beriman, berzdikirlah (dengan menyebut nama) Allah, zikir yang sebanyak-banyaknya.”

Menerusi Surah Al-Insan, ayat 25 dan 26, Allah berfirman, maksudnya : “Dan sebutlah nama Tuhanmu pada (waktu) pagi dan petang. Dan pada sebagian dari malam, maka sujudlah kepada-Nya dan bertasbihlah kepada-Nya pada bagian yang panjang dimalam hari.”

Kemudian, Surah Al-Araf, ayat 205, Allah berfirman, maksudnya : “Dan sebutlah (nama) Tuhanmu dalam hatimu dengan merendahkan diri dan rasa takut, dan dengan tidak mengeraskan suara, di waktu pagi dan petang, dan janganlah kamu termasuk orang-orang yang lalai.”

Waktu berzikir yang terbaik

Berdasarkan mafhum nas Al-Quran yang tersebut di atas, waktu terbak untuk kita berzikir adalah pada waktu pagi dan petang, malah yang sebaik-baiknya ialah berterusan tanpa mengehadkan waktu-waktu tertentu, sebagaimana Allah berfirman di dalam surah Ali Imran, ayat 191 yang bermaksud : “(yaitu) orang-orang yang mengingat Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadan berbaring dan mereka memikirkan tentang penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): "Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari siksa neraka.”

Kemudian, menerusi hadis riwayat Al-Bukhari, Muslim, At-Tirmizi dan Ibnu Majah, daripada Abu Hurairah r.a, bahawa Rasulullah SAW bersabda, maksudnya:
“Allah berfirman: “Aku menyertai sangkaan hamba-Ku terhadap-Ku. Aku bersamanya ketika dia mengingati Aku. Apabila dia mengingati Aku dalam dirinya, nescaya Aku juga akan mengingatinya dalam diri-Ku. Apabila dia mengingati Aku di dalam majlis, nescaya Aku juga akan mengingatinya di suatu majlis yang lebih baik daripada majlis mereka. Apabila dia mendekati Aku dalam jarak sejengkal, nescaya Aku akan mendekatinya dengan jarak sehasta. Apabila dia mendekati Aku sehasta, nescaya Aku mendekatinya dengan jarak sedepa. Apabila dia datang kepada-Ku dalam keadaan berjalan seperti biasa, nescaya Aku datang kepadanya seperti berlari-lari anak.”

Ungkapan mafhum Hadis Qudsi di atas bermaksud betapaorang yang berzikir itu akan menerima rahmat Allah dengan pantas, malah lebih pantas daripada amalan yang dilakukan oleh hamba tersebut.

Pengertian zikir

Zikrullah ialah mengingati dan menyebut nama Allah yang dikaitkan :
Tasbih (mensucikan dengan menyebut ‘SubhanAllah’ ertinya ‘Maha suci Allah’).
Tahmid (memuji dengan ucapan ‘Alhamdulillah’ ertinya ‘Segala pujian bagi Allah dan sebagainya’).
Tahlil (Iaitu kalimah ‘La illaha illallah’
Takbir (Membesarkan dengan menyebut ‘Allahu Akbar’ ertinya ‘Allah yang maha besar’) atau sifat-sifat yang lain.

Kalimah zikir tidak boleh direka sendiri, tetapi mestilah mengikut apa yang diajar oleh Allah dan Rasul-Nya(Nabi Muhammad SAW).

Bab ini menjelaskan tentang beberapa kalimah zikrullah yang istimewa dan paling utama daripada sekian banyak kalimah zikir yang diajar dan yang menjadi amalan Rasulullah SAW, para sahabat, salaf al-Soleh, bahkan insan-insan soleh yang kemudiannya. Pesanan Ibnu Ruslan dalam hal beramal, “kalau tidak mampu melakukan semua, lakukanlah walau sekadar satu per sepuluh”.

Sabda Rasulullah SAW :
“Amalan yang dikasihi oleh Allah ialah yang berkekalan walaupun sedikit.” (Riwayat Al-Bukhari & Muslim)

Maksud amalan dalam hadis ini ialah amalan daripada jenis baik termasuklah zikrullah.

Justeru zikir-zikir yang ada ini, amalkanlah dengan penuh keimanan kepada Allah, sambil mengharapkan rahmat dan barakat serta keredhaan-Nya. Dengan demikian, In shaa Allah kita akan dijauhkan daripada perkara-perkara yang tidak baik, dihindarkan daripada kejahatan syaitan dan kejahatan manusia serta makhluk yang melata di bumi ini.

Wallahu’alam
***

Teruskan menyokong kami :

Facebook : Hijrah Haura
Twitter : @twt_haura
 Instagram : hijrahhaura
 Blog : hijrahhaura.blogspot.com

JANGAN EDIT ATAU PADAM APA-APA.
BELAJAR MENGHORMATI.

Tiada ulasan: