Sifat Terpuji


Assalamualaikumwarahmatullahiwabarakatuh...


Hari ini kita nak berkongsi tentang sifat terpuji yang ada dinyatakan dalam kitab bidayatul hidayah.

Sebelum itu...hayati sebuah kisah ni

Kisah ini terjadi pada zaman imam Hasan al-Basri

Dikisahkan pada suatu hari, di dalam suatu kuliah, Hasan al-Basri mengenakan sebuah jubah yang dihadiahkan oleh salah seorang anak muridnya yang hartawan. Jubah tersebut merupakan sebuah jubah yang sangat mahal dan diberitakan bernilai kira-kira 4000 dirham.

Berbalik kepada kisah tadi, ketika Hasan al-Basri sedang mengajar, beliau ditegur muridnya kerana mengenakan pakaian yang sangat mahal, walhal beliau selalu mengajar supaya muridnya menghampiri cara hidup zuhud.

Tiba-tiba, datang seorang miskin menemui Hasan al-Basri memohon sedikit bantuan kerana beliau orang susah. Mendengarkan hal itu, Hasan al-Basri lantas menyerahkan jubah 4000 dirham yang dipakainya kepada orang miskin tersebut, supaya dijualkan jubah tersebut bagi mendapatkan wang untuk membantu si miskin tadi.

Bergegaslah si miskin tadi ke pasar untuk menjualkan jubah tersebut. Saban hari si miskin menunggu di pasar, menantikan pembeli jubah namun tiada yang sudi membeli jubah tersebut kerana nilainya yang sangat mahal.

Tiba-tiba datang seorang lelaki menyapa si miskin yang sedang menjual jubah tersebut,

"Wahai saudara, dari mana saudara mendapatkan jubah ini ?". "Jubah ini aku berikan kepada Hasan al-Basri", sambungnya lagi.

"Jubah ini diberikan kepadaku oleh Hasan al-Basri dan disuruh aku menjualnya", jawab si miskin tadi. Lelaki tadi kemudiannya membeli jubah tersebut pada harga 4000 dirham daripada si miskin tadi dan menghadiahkan jubah itu semula kepada gurunya Hasan al-Basri.

Kesesokan harinya ketika Hasan al-Basri mengajar, muridnya terkejut kerana beliau masih mengenakan jubah yang mahal tersebut, walapun semalam, beliau telah menyedekahkannya. Beliau menceritakannya kepada muridnya tentang apa yang telah berlaku. Benarlah akan kata-kata, "sesiapa yang hidupnya tidak bermatlamat untuk mencari dunia maka dunia akan datang mencarinya".

Erti zuhud sebenarnya bukan terhad kepada tidak memilih untuk hidup secara mewah, namun yang lebih penting ialah, tiada ikatan atau kecenderungan hati terhadap kemewahan dunia. Tidak mengapa dunia di tangan tapi tidak dihati. Jangan sampai dunia tiada ditangan tapi ia bertakhta dihati.

Seseorang mungkin mempunyai harta yang sedikit, dan hidup secara sederhana namun belum boleh dikatakan seorang yang hidup dengan sifat zuhud sehinggalah dia tidak meletakkan sebarang rasa cinta kepada harta yang dimilikinya.

Ingatlah, semua harta kekayaan adalah milik Allah. Semua rezeki yang kita perolehi baik wang ringgit, kesihatan, pangkat, anak, dan sebagainya adalah anugerah dari Allah. Kesemua harta tersebut tidak dapat kita miliki jika Allah tidak mengizinkannya dan begitu juga sebaliknya, jika Allah telah menetapkan bahawa sesuatu harta itu bakal milik kita, maka tiada siapa yang boleh menyebabkan kita kehilangan akan harta tersebut.

Jika kita berada di posisi Imam Hasan al-Basri, sanggupkah kita menyerahkan harta bernilai 4000 dirham kepada orang yang tidak dikenali sebagai sedekah ?

Adakah kita sanggup melepaskan sesuatu yang di sisi manusia itu harganya mahal untuk berdagang dengan Allah azzawajalla dengan sesuatu yang lebih baik?

Toyyib.. Salallah sayidina Muhammad

Kita pergi ke kisah yang kedua...

Sebuah hadith yang dilaporkan oleh at Tabrani dan al Baihaqi yang dilaporkan daripada Ibnu Abbas...

Pada suatu hari, baginda Rasulullah ﷺ dan Jibril alaihissalam sedang duduk di atas sebuah batu karang. Rasulullah ﷺ berkata kepada Jibril alaihissalam,

"Wahai Jibril, demi dzat yang mengutus kamu dengan kebenaran, keluarga Muhammad akan bermalam tanpa tepung dan gandum. "

Tidak lama selepas baginda Rasulullah ﷺ menyatakan perkara itu, guruh berdentum di langit hingga mengejutkan baginda ﷺ, 
Baginda berkata,

" Adakah Allah memerintahkan berlakunya kiamat? "

Malaikat Jibril alaihissalam menjawab,

" Tidak, tetapi Allah memerintahkan malaikat Israfil, supaya turun ketika mendengar percakapan kamu sebentar tadi. "

Malaikat Israfil alaihissalam tidak pernah turun kepada nabi-nabi sebelum Rasulullah ﷺ.

Kemudian,  malaikat Israfil alaihissalam datang kepada Rasulullah ﷺ dan berkata,

" Sesungguhnya Allah mendengar apa yang engkau katakan.  Dia mengutus aku supaya membawa kunci harta simpanan bumi. Dia juga memerintahkan kepada aku agar memperlihatkan kepada engkau, zamrud, yakut, emas, dan gunung perak. Makkah dapat berjalan-jalan bersama kamu. Lalu, apakah engkau ingin menjadi seorang nabi dan raja ataupun nabi dan hamba? "

Malaikat Jibril alaihissalam memberi isyarat kepada Rasulullah ﷺ supaya merendah diri. Kemudian baginda ﷺ menjawab,

" Aku memilih bagi menjadi seorang nabi dan hamba. "

Dalam laporan Ibnu Umar pula, Nabi Muhammad ﷺ bersabda,

" Terdapat malaikat dari langit yang tidak pernah turun kepada nabi-nabi sebelum aku dan tidak akan turun lagi selepas aku. Malaikat itu adalah Israfil. "

Israfil alaihissalam berkata kepada Rasulullah ﷺ,

" Aku adalah utusan Tuhan kamu bagi menyampaikan pilihan kepada engkau. Apakah engkau ingin menjadi nabi dan hamba Nya ataupun nabi dan raja? "

Rasulullah ﷺ bersabda,

" Sekiranya aku katakan aku ingin menjadi nabi dan raja, gunung-gunung itu pasti menjadi emas buat aku. "

...

Melihat daripada akhlak baginda Rasulullah ﷺ yang memilih untuk menjadi hamba, kita dapat melihat betapa tinggi kedudukan dan pangkat sebagai hamba itu sendiri di sisi Allah, daripada kita berlagak seperti raja di atas muka bumi dan menikmati hidangan dunia tanpa membuat imbalan mana yang lebih baik, segunung emas di dunia atau sebuku roti di syurga.

Toyyib jiddan..salallah sayidina Muhammad

Daripada dua kisah ini, pasti kita dapat agak adab yang akan kita pelajari.

Naam...

Inilah dia... Tercelanya dunia... Inilah zuhud

Dalam kehidupan seharian kita sebagai manusia biasa, kita tak terlepas daripada buat aktiviti yang luar daripada ibadah khusus seperti baca Quran, solat, puasa dan pelbagai lagi.

Kita difardhukan agar berusaha mencukupi keperluan kita sekadar yang diperlukan.

Namun adakah dalam kehidupan seharian kita, kita melakukan sesuatu yang bukan kerana ingin mencari dan mengejar akhirat?

Maka ini adalah satu kerugian besar... Rugi sangat...

Macam makan dekat atas satu meja... Kita dikhabarkan hanya satu hidangan sahaja yang boleh dimakan, antara tulang ikan dan chicken chop with marry brown sauce..

Dihidangkan dulu kepada kita dengan tulang ikan, dan dikhabarkan chicken chop akan dihidangkan tak lama lagi...

Tapi asbab gelojoh dan tidak yakin kepada janji mereka, kita pilih tulang ikan.

Macam tu lah dunia, Allah azzawajalla sudah mengkhabarkan, siapa yang mengejar akhirat maka dia adalah daripada golongan yang beruntung.

Namun siapa yang tidak yakin dengan janji Allah ini, mereka hidup dengan pandangan nafsu dan buat sesuatu itu untuk mengejar nikmat dunia.

Sedangkan mereka dah kerugian nikmat akhirat yang jauh lebih baik dan menyelerakan.

Salallah sayidina Muhammad

Zuhud bukan bererti berpakaian compang camping sahaja.

Bukan bererti hidup di dalam rumah yang hampir roboh sahaja.

Namun ianya terlalu meluas untuk kita semua fahami secara lisan. Maka apa yang kita ambil pada hari ini, kita amalkan In syaa allah.

Kata al Habib Zein bin Sumaith, Makna zuhud ialah meninggalkan perasaan suka kepada dunia, kecenderungan kepada dunia.

Dan meninggalkan keinginan dunia kerana ianya merupakan perkara yang melalaikan kita daripada memperingati allah dan akhirat.

Dan tanda bagi kezuhudan seseorang itu ialah berasa berat apabila mendapat sesuatu daripada dunia dan berasa gembira apabila kehilangan beban dunia itu.

Perkara-perkara yang boleh membuatkan manusia merasa zuhud dengan dunia adalah bilamana dia sentiasa berfikir tentang kehinaan dunia, dan kebinasaan yang diberikan dunia ke atas manusia.

Dengan cara ini, kita akan hilang keinginan kepada keduniaan, dunia ini tidak ada manfaat bagi orang-orang yang mencarinya dan tidak akan kekal pada siapa yang memiliki keduniaan. 

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda,

"Kalaulah dunia ini ada harga di sisi Allah seberat sayap nyamuk, nescaya Allah tidak akan memberi minum kepada orang kafir walaupun seteguk air. "
(riwayat at tirmizi)

Dalam hadis yang lain, baginda Rasulullah ﷺ bersabda,

" Dunia ini terlaknat. Dilaknat apa yang ada di dalamnya melainkan zikir kepada Allah serta apa yang dipimpinNya, atau orang yang alim atau orang yang belajar. "

Maksud terlaknat di sini ialah, segala apa yang tidak dilakukan dengan niat kepada Allah, untuk mencari tempat di sisi Allah, tidak mendapat hidayah serta petunjuk untuk bertaubat, tidak keluar mencari ilmu dan mengamalkannya. Maka segala perkara itu termasuk hal keduniaan dan tidak mendapat sebarang imbalan kebaikan di sisi Allah azzawajalla.

Kata hukama, Barangsiapa yang mengambil dunia lebih daripada keperluannya maka ia telah mengambil kecelakaannya dalam keadaan dia tidak menyedarinya.

Iaitu perkara keduniaan itu kadang kala terhias dengan cantik dan nikmat seperti tidak ada masalah untuk melaksanakannya. Namun dalam keadaan tidak sedar perkataan "takpe" dalam melakukan sesuatu pekerjaan itu tanpa ditujukan kepada akhirat, maka dia telah mencelakakan diri sendiri tanpa dia menyedarinya.

Kita selalu dengar tentang hadis

" Dunia ini penjara bagi orang mukmin, dan syurga buat orang kafir "

Adakah Allah bersifat tidak adil kepada umat muslim? Dengan menjadikan dunia ini syurga buat orang kafir sedangkan penjara bagi orang mukmin?

Syurga di sini bermaksud segala kenikmatan dunia yang Allah berikan kepada mereka, namun, kalau duduk dalam penjara pun tidak ikut peraturan penjara, sampai bila-bila lah duduk dalam penjara kerana menganggap penjara dunia ini rumah mereka, dan lupa kepada kehidupan yang lebih baik yang dijanjikan jika mereka mematuhi peraturan penjara, akhirnya berakhir dengan kesengsaraan.

Namun jika kita hidup di atas dunia ini dengan mengikut garis panduan yang ditetapkan oleh Allah, berakhlak dengan akhlak yang terpuji, membersihkan diri daripada sifat mazmumah, berbuat baik kepada warden penjara, sampai satu tahap kita jadi mesra dengan warden, kemudian bila berakhlak sedemikian, pasti kita akan mendapat perlepasan dan dapat kembali ke kampung halaman dengan baik.

Allah berfirman :

" Dan kalaulah tidak kerana manusia akan menjadi umat yang satu, nescaya kami jadikan bagi orang-orang yang kufur kepada Tuhan Yang Maha Pemurah, bumbung rumah-rumah mereka daripada perak, dan tangga-tangga yang mereka naik turun di atasnya(daripada perak juga).  Dan kerusi-kerusi panjang yang mereka berbaring di atasnya (daripada perak juga). Serta berbagai barang perhiasan (keemasan). Dan (Ingatlah), segala yang tersebut itu tidak lain hanyalah merupakan kesenangan hidup di dunia. "
[Surah az Zukhruf : 33-35]


Kesenangan di dunia ini tidak akan kekal, maka zuhud merupakan satu sifat yang perlu kita praktikkan agar kita tidak terlepas daripada mendapat sesuatu yang jauh lebih mewah di akhirat sana.

Macam mana zuhud tu? Toyyib.. Salallah sayidina Muhammad

Zuhud ada 3 peringkat :

1) Zuhud daripada perkara yang haram.

-yakni meninggalkan segala sesuatu yang diharamkan di dunia. Hukumnya wajib  kerana ia sebahagian daripada sifat khauf, taqwa.

2)Zuhud daripada perkara syubhah.

-iaitu meninggalkan perkara yang terdapat unsur keraguan dan syubhah di dalamnya. Ianya melambangkan sifat yang mulia bagi seseorang mukmin.

3)Zuhud daripada mengambil lebih daripada kadar keperluan di dunia ini.

-Yakni hanya mengambil perkara dunia secukup yang diperlukan sahaja, bukan mengikut kemahuan diri dan perasaan suka suka dalam melakukan sesuatu perkara. Ianya sangat afdhal dan hukumnya sunat. Dalam keadaan ini, inilah yang dikatakan menanam padi akhirat dan menebas lalang dunia. Mengejar akhirat dan dunia akan mengejar nya.

Baginda Rasulullah ﷺ bersabda :

"Zuhudlah kamu di dunia nescaya Allah akan mencintai mu dan Zuhudlah apa yang ada di tangan manusia nescaya engkau akan disukai mereka. "
(Riwayat Ibnu Majah dan Al Haakim)

Sabda baginda Rasulullah ﷺ lagi :

" Zuhud pada dunia ini menenangkan jiwa dan tubuh badan. Mencintainya (dunia) pula menambahkan keluh kesah dan kesedihan. "
(Riwayat Ibnu Umar)

Ketahuilah sesungguhnya seorang mukmin yang berakal itu lebih terkesan dengan akhirat berbanding dunia. Dan tidak akan pernah sama antara nilai dunia dan akhirat.

Maka bersihkan hati kita dan niat kita dalam setiap perbuatan dalam kehidupan.

Jangan mendambakan pujian dan pandangan manusia.

Jangan mendambakan harta dan kemasyhuran.

Jangan mendambakan pangkat dan kuasa.

Biarlah segala pekerjaan yang dilakukan ini berpaksikan ke arah akhirat. In syaa allah. Semoga kita meraih husnul khotimah in syaa allah

Tiada ulasan: