Berakhlaq dalam pekerjaan

السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم

Rabu, 08 Muharam 1437H

BERAKHLAQ DALAM MELAKUKAN PEKERJAAN.

Di antara hal-hal yang ada pada setiap peribadi manusia sebagai khalifah Allah di atas muka bumi adalah melakukan pekerjaan sebagai kewajipan dalam menegakkan kebenaran (hukum-hukum Allah SWT) di muka bumi dan hak untuk mengelola/memanfaatkan alam semesta sebagai fasiliti hidup.

Allah SWT berfirman dalam Surah At-Taubah, ayat 105:

وَقُلِ اعْمَلُوا فَسَيَرَى اللَّهُ عَمَلَكُمْ وَرَسُولُهُ وَالْمُؤْمِنُونَ وَسَتُرَدُّونَ إِلَىٰ عَالِمِ الْغَيْبِ وَالشَّهَادَةِ فَيُنَبِّئُكُم بِمَا كُنتُمْ تَعْمَلُون.َ
"Dan Katakanlah: "Bekerjalah kamu, maka Allah dan RasulNya serta orang-orang mukmin akan melihat pekerjaanmu itu, dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang Mengetahui akan yang ghaib dan yang nyata, lalu diberitakanNya kepada kamu akan apa yang telah kamu lakukan". (QS.at-Taubah :105).

Dalam ayat yang lain, Allah SWT berfirman dalam Surah An-Najm, ayat 39:

وَأَن لَّيْسَ لِلْإِنسَانِ إِلَّا مَا سَعَىٰ
"Dan bahawasanya seorang manusia tiada memperoleh selain apa yang telah diusahakannya". (QS. an-Najm:39).

Dari ayat di atas, agama mengajarkan adanya etika bekerja atau etika berbisnes. Di antara adab orang bekerja atau berbisnes dalam Islam adalah sebagai berikut:

1. Meluruskan niat dalam bekerja atau berbisnes.
Bahawasanya bekerja atau berbisnes itu untuk mencari redha Allah. Jika anda berniaga, berniatlah untuk membantu pembeli/pelanggan memperolehi keperluannya.

2. Mulakan setiap usaha/kerja atau bisnes kita dengan menyebut nama Allah SWT.
بِسْمِ اللهِ الرَّحْمنِ الرَّحِيْم
Agar kita selalu ingat kepada Allah SWT dalam setiap proses bisnes atau bekerja, sehingga tidak melakukan hal-hal yang haram yang dilarang olehNya.

3. Perbanyakkan berdoa kepada Allah SWT setiap kita memulakan usaha, kerja atau projek, untuk memohon keberkatan dari usaha tersebut sepertimana doa dibawah ini:

اللهم اجعل اول هذا اﻷمر صﻻحا و أوسطها فﻻحا و أخرها نجاحا.
"Allohumma j`al awwala hadza al amro solahan wa ausathohu falaha wa akhirohu najaha".

"Ya Allah, jadikanlah awal dari urusan ini sebagai suatu yang baik / sepatutnya, dan prosesnya merupakan proses yang menyenangkan, dan berakhir sebagai keberhasilan/kejayaan".

Atau doa yang disebutkan dalam firman Allah SWT dalam Surah An-Naml, ayat 19:

وَقَالَ رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ
"Ya Tuhanku berilah aku ilham untuk tetap mensyukuri nikmatMu yang telah Engkau anugerahkan kepadaku dan kepada dua orang ibu bapaku dan untuk mengerjakan amal soleh yang Engkau redhai; dan masukkanlah aku dengan rahmatMu ke dalam golongan hamba-hambaMu yang soleh".

4. Menyeimbangkan pekerjaan dan bisnes kita antara Kepentingan Duniawi Dan Kepentingan Ukhrawi.

5. Mengorientasikan semua urusan pekerjaan untuk tujuan jangka masa panjang, (hari tua, anak cucu, generasi mendatang, dan pelaburan akhirat/ibadah).

6. Jika berhadapan dengan pilihan yang sukar dalam mengambil keputusan bersangkutan pekerjaan atau bersangkutan projek yang besar, sebelum mengambil keputusan hendaknya melakukan solat istikharah, iaitu mohon agar Allah SWT memberi petunjuk dalam memilih hal yang terbaik baginya.

7. Jika anda seorang pekerja, hendaklah bersikap disiplin dan jujur serta amanah dalam bekerja, kerana sifat-sifat tersebut akan membawa pada keredhaan Allah SWT.

8. Jika kita seorang majikan hendaklah kita tidak menyalahgunakan kuasa terhadap pekerja, sebaliknya berilah upah yang memadai dan bayarkan kadar segera. Jangan hanya memerah tenaga mereka sahaja.

9. Jika kita pekerja luaran, maka rajinlah kita dalam melakukan pekerjaan. Jangan hanya rajin ketika dilihat oleh bos kita sahaja.

10. Jangan berbisnes/berurusan dalam bidang yang diharamkan Allah SWT, meskipun boleh mendatangkan keuntungan yang besar dan cepat, tetapi pada akhirnya akan menyusahkan hidup kita, kerana kehilangan keberkatan dalam pekerjaan tersebut.

Demikian juga unsur-unsur yang diharamkan – seperti korupsi, manipulasi, konspirasi jahat, meski boleh jadi ianya dapat melicinkan jalan, tetapi pada akhirnya akan menghilangkan makna berkat dan rahmat Allah SWT. Unsur-unsur tersebut bukan hanya berdosa tetapi merosak sistem usaha manusia dalam kehidupan.

11. Tunaikan kewajipan anda sebagai pengusaha kepada yang berhak, baik berkaitan hak buruh (upah), hak negara (Cukai), hak Tuhan (zakat), hak masyarakat/lingkungan hidup (infak dan sedekah).

12. Usaha yang berkat adalah usaha yang memberi manfaat kepada orang banyak dan memberi keuntungan yang halal di dunia dan di akhirat.

Ya Allah kurniakan kepada kami rezeki yang baik lagi halal dan berkatilah hasil usaha kami. Mudah-Mudahan keberkatan hidup akan dapat kami perolehi dalam hidup kami di dunia ini. Aamiinn Yaa Robbal 'Aalamiin !!!!!

Wallahu A'lam.

Panjang-panjangkan pada sahabat lain walau sepotong ayat walaupun hanya sekilas pandang….

Jazakumullahu khairanjaza’..
Doakan istiqamah serta Sehat wal Afiat.
Wassalam

Tiada ulasan: